JAKARTA – Seorang penghibur jalanan yang berpakaian seperti badut di Bali, Indonesia berdepan hukuman penjara sembilan tahun selepas mencuri wang 15,000 rupiah (RM4.40) daripada seorang penjual buah-buahan.
Menurut laporan portal berita Coconut, suspek lelaki berusia 25 tahun dikenali sebagai FS itu terdesak mendapatkan wang untuk meninggalkan Pulau Bali dan pulang ke kampung halamannya di Jawa Timur.
“Dia berasakan pendapatannya sebagai penghibur jalanan semakin merudum sejak pandemik Covid-19 melanda pulau pelancongan ini.
“Suspek terdesak mencari wang untuk pulang ke Jawa hingga sanggup mencuri RM4.40 dan sebuah telefon jenama Nokia daripada seorang wanita yang merupakan penjual gerai buah-buahan,” Ketua Polis Jembrana, Dewa Gde Juliana.
Suspek didakwa melakukan kesalahan di bawah Kanun Jenayah (KUHP) yang membawa hukuman maksimum penjara 9 tahun. – Agensi