PUTRAJAYA – Seorang penganggur terkedu apabila Mahkamah Rayuan di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada hukuman penjara 22 tahun dan lapan sebatan atas kesalahan merogol dua remaja bawah umur, lapan tahun lalu.
Sejurus selepas tamat prosiding, meskipun diterangkan oleh peguam-peguamnya mengenai pembebasannya itu, Muhmed Azroel Hassan,31, selaku perayu dilihat seperti tidak percaya dibebaskan selepas lapan tahun ditahan di penjara.
Terdahulu, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md. Said dan bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara memutuskan untuk melepas dan membebaskan Muhmed Azroel selepas membenarkan rayuannya.
“Kami mendapati terdapat merit dalam rayuan dan mendapati Mahkamah Sesyen telah terkhilaf apabila membuat keputusan hanya berdasarkan bukti dengar cakap. Mahkamah juga dapati adalah tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman apabila pengecaman mangsa ke atas perayu juga tidak selamat.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan perayu (Muhmed Azroel) dan mengetepikan sabitan serta hukuman terhadapnya,”kata Hakim Gunalan ketika membaca penghakiman.
Pada prosiding hari ini, Muhmed Azroel diwakili Zuhaidie Akmal Hassan Basri dan Raja Mohd. Afiq Raja Azmi manakala pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling.
Dalam prosiding yang sama, enam lagi perayu termasuk tiga remaja bawah umur (berumur antara 14 hingga 17 tahun ketika kejadian) dalam rayuan kes yang sama tidak begitu bernasib baik seperti Muhmed Azroel apabila panel yang sama mengekalkan sabitan salah atas kesalahan merogol mangsa-mangsa yang sama. – K! ONLINE