KUALA LUMPUR – Pemain gitar Search, Kid menganggap pemergian isteri tercinta, Allahyarham Noraznin Yusof pada 29 November, tahun lalu umpama membawa bersama sebahagian daripada dirinya.
Kata pemilik nama sebenar Hamzah Md Taib itu, hampir tiga dekad hidup bersama, Allahyarham bukan sekadar isteri dan belahan jiwa malah tulang belakang terhadap kerjaya seninya.
“Kehilangan arwah memberi impak yang besar terhadap kami sekeluarga terutama saya kerana kami sudah lama hidup bersama dengannya. Anak sulung pun sudah berumur 26 tahun, manakala anak bongsu bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sepanjang kehidupan kami, arwah adalah insan yang sanggup berkorban segala-galanya untuk anak-anak dan saya bagi memastikan kami tidak kurang apa pun.
“Dia juga membantu dalam kerja penghasilan video muzik serta saluran YouTube membabitkan kerjaya seni saya menggunakan kepakarannya sebagai pereka grafik kanan sepanjang 18 tahun berkhidmat di sebuah stesen televisyen.
“Sudah pasti kehidupan kami berubah selepas ketiadaannya. Apa pun saya reda selain bersyukur dapat menjaga isteri sehingga akhir hayatnya,” katanya ketika ditemui pada sesi memperkenalkan vokalis Search, baru-baru ini.
Allahyarham Noraznin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) selepas hampir setahun bertarung dengan penyakit kanser darah myeloma tahap empat.
Arwah yang sebelum ini pernah koma selama 10 hari meninggalkan Kid bersama dua cahaya mata, Deanda dan Aaqil Naquidean.
Luah Kid lagi, walau menanggung rindu yang tidak berpenghujung, dia perlu kuat demi permata hati mereka malah akan terus memahat kukuh kenangan bersama insan teristimewa itu.
“Isteri saya seorang yang unik dan punya karektor tersendiri. Benda yang tidak itu yang dia hendak buat sebab dia sukakan cabaran. Ada saja idea dan sejenis yang kalau buat kerja pula memang bersungguh-sungguh.
“Dia juga sangat disayangi seluruh ahli keluarga saya. Itu yang buat saya kagum dengan keperibadiannya yang pandai mengambil hati orang.
“Kami amat memahami satu sama lain. Sampai satu tahap, saya tidak perlu menceritakan masalah, tetapi, arwah sendiri dapat hidu kalau saya berdepan kesulitan.
“Sebenarnya hanya menerusi gerak mata saja arwah bagai tahu fikiran saya. Contohnya, dalam satu acara dia tahu saya hendak balik sebaik kami berpandangan,” katanya lagi.
Berkongsi lebih lanjut, ketika mendapat berita mengenai serangan penyakit berkenaan pada akhir 2020, dia nekad untuk berjuang bersama-sama melawan kanser tersebut.
“Allahyarham seorang yang kuat semangat dan sebagai suami saya berjanji untuk jangan patah semangat dan di sisinya memberi sepenuh perhatian seperti mana dia sentiasa ada disamping saya selama ini.
“Alhamdulillah, bagi saya kesempatan untuk berbakti kepadanya hingga ke akhir hayat.
Sebelum pemergian arwah, saya dan anak menjenguknya di hospital pada tengah malam tersebut.
“Saya dan anak pulang jam 3.30 pagi tetapi sejam kemudian, saya menerima panggilan telefon hospital memaklumkan isteri sedang nazak. Sebaik sampai saya pegang tangan dan cium dahinya.
“Saya bisikkan kalimah syahadah dan bagi tahu sudah memaafkan segala dosanya selain saya sendiri memohon maaf kepadanya. Kemudian arwah pergi dengan tenang,” luahnya mengenang detik terakhir dengan Allahyarham.
Dedah Kid lagi, Allahyarham pernah meninggalkan beberapa pesanan sebelum pemergiannya terutama menjaga kedua-dua cahaya mata mereka dengan baik. – K! ONLINE