GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang yakin kadar suntikan dos penggalak di negeri ini mampu mencapai sasaran ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjelang penghujung Februari ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, oleh itu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) digesa supaya mempercepatkan kadar suntikan dengan pengoperasian 100 buah klinik swasta, tapak off-site (10) dan program-program outreach yang dijalankan membabitkan semua daerah.
“Adalah diyakini bahawa Pulau Pinang mampu mencapai sasaran ditetapkan (KKM) menjelang penghujung Februari ini.
“Turut ditekankan adalah tiada polisi walk-in dibenarkan dan semua janji temu adalah menerusi aplikasi MySejahtera bagi mengelakkan kesesakan di pusat-pusat pemberian vaksin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan terus berada dalam keadaan siap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan bagi memastikan situasi penularan pandemik di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan terkawal.- K! ONLINE