SEBERANG PERAI – Jabatan Alam Sekitar (JAS) bertindak tegas terhadap aktiviti pembakaran terbuka apabila mengeluarkan kompaun RM4,000 ke atas sebuah premis kitar semula kayu palet terpakai di Juru Estate, Bukit Mertajam di sini yang melakukan kegiatan itu semalam.
Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya segera menyerbu lokasi tersebut bagi melakukan siasatan lanjut sejurus menerima laporan daripada orang awam.
Menurutnya, premis yang menjalankan perniagaan membeli dan menjual palet kayu terpakai itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu membenar dan menyebabkan pembakaran terbuka ke atas pelet-palet kayu di dalam kawasan premis.
“Justeru, kompaun berjumlah RM4,000 telah dikenakan ke atas syarikat tersebut atas kegagalan mematuhi peruntukan undang-undang berkenaan.
“Syarikat-syarikat yang menghantar palet kayu untuk kitar semula juga digesa untuk memeriksa premis penerima bagi memastikan bahan yang dihantar benar-benar dikitar semula dan bukan dilupuskan secara pembakaran terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, JAS memandang serius isu pembakaran terbuka dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sama.
“JAS Pulau Pinang juga telah mengaktifkan beberapa pasukan rondaan selepas waktu bekerja bagi mencegah pencemaran dan pembakaran terbuka,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat pencemaran alam sekitar berkaitan bidang kuasa JAS boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau laman sesawang e-Aduan di pautan https://eaduan.doe.gov.my/ untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE