NEW YORK – Pemain pilihan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS), Sofia Kenin mula menemui rentak terbaik selepas berjaya melangkah ke pusingan ketiga.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung, pemain tuan rumah itu menepati ramalan apabila mudah menewaskan wakil Kanada, Leylah Fernandez menerusi keputusan straight-set 6-4, 6-3 awal pagi semalam.
Meskipun mengakui dia memulakan aksi pada Terbuka AS dengan agak perlahan, namun pemain berusia 22 tahun itu mengakui keyakinannya sudah kembali menerusi kemenangan tersebut.
“Saya fikir saya sudah kembali dapatkan rentak terbaik dalam perlawanan. Sebenarnya, perasaan saya agak gementar sebelum kejohanan bermula tetapi segalanya sudah berubah.
“Selepas ini, saya perlu lebih fokus dalam setiap perlawanan jika mahu kembali ke prestasi terbaik. Buat masa ini, saya sudah tampilkan aksi meyakinkan,” kata Kenin.
Mengulas aksi pusingan ketiga menentang pemain Tunisia, Ons Jabeur, Kenin percaya perlawanan itu bakal menjadi aksi sukar, lebih-lebih lagi dia pernah menewaskan Jabeur pada Terbuka Australia awal tahun ini.
“Saya fikir pertemuan kali ini lebih sukar kerana dia sudah tahu gaya permainan saya walaupun dia tewas di Australia. Ia pasti jadi satu perlawanan menarik kerana saya juga tahu corak permainannya. Kita akan lihat siapa yang akan memenanginya,” ujarnya. – AGENSI