NEW YORK – Bekas pemain No.1 dunia, Andy Murray tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas tewas 2-6, 3-6, 4-6 kepada Felix Auger-Aliassime awal pagi semalam.
Auger-Aliassime mengakui cukup teruja bertemu Murray pada perlawanan semalam memandangkan 11 tahun lalu, dia hanya menjadi penonton menyaksikan pemain Britain itu bermain.
Pada perlawanan tersebut, pemain Kanada itu menampilkan aksi lebih baik apabila mempamerkan corak permainan lebih pantas berbanding juara Grand Slam tiga kali berkenaan.
“Satu perasaan yang cukup hebat tetapi ia mungkin lebih menarik jika ada penonton di stadium. Saya amat teruja bertemu Murray hari ini (semalam) kerana pada 2009 saya menyaksikan dia bermain di sini.
“Saya akui pukulan servis menjadi kunci kemenangan. Kami berehat lebih kurang lima bulan dan saya guna masa tersebut untuk memperbaiki pukulan servis,” kata Auger-Aliassime.
Tambah pemain berusia 20 tahun itu, meskipun berada dalam keadaan gugup sepanjang perlawanan, namun dia mampu mengekalkan ketenangan hingga tamat perlawanan.
“Sepanjang perlawanan, saya rasa sangat gementar tetapi ia tidak beri kesan besar. Perasaan itu mungkin hadir kerana terlalu fikirkan mengenai Murray,” ujarnya. – AGENSI