AKTRES jelita Deepika Padukone menjadi antara selebriti Bollywood yang dijangkiti Covid-19 ketika negara India dilanda gelombang kedua pandemik tersebut pada tahun lalu.
Biarpun telah bebas daripada wabak tersebut, Deepika mengakui dirinya tidak lagi seperti dahulu dan mudah merasa letih.
“Wabak ini menyebabkan fungsi tubuh saya tidak lagi seperti sebelum ini. Saya memerlukan masa selama dua bulan selepas bebas daripada Covid-19 untuk kembali bekerja.
“Ketika dalam fasa pemulihan, otak saya seperti tidak berfungsi dan perkara itu membuatkan keadaan saya menjadi semakin teruk,” katanya.
Menurut laporan Hindustan Times, kesan yang dialami Deepika berkemungkinan disebabkan pengambilan steroid sehingga mengganggu fungsi tubuh serta otaknya.
“Ketika saya masih berada dalam keadaan positif (Covid-19), keadaan diri saya masih lagi okey.
“Namun selepas sembuh, saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena sehingga memerlukan masa sehingga dua bulan untuk tidak bekerja,” katanya.