GEORGE TOWN – Seorang wanita nekad membesarkan dua anaknya dengan penuh kasih sayang biarpun tinggal dalam suasana serba kekurangan di kediaman pusaka keluarganya di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar di sini.
Zuraida Md. Zain, 42, berkata, dia bekerja keras bersendirian demi membesarkan dua anaknya, Nur Atiqah Ayuni Jasmin Arman, 17, dan Muhammad Adam Naufal yang berusia lapan tahun.
Akuinya yang bekerja di syarikat pembuatan roti pizza, dia tidak sesekali terbeban dengan tanggungjawab yang dipikulnya, malah anak-anak juga memahami keadaan yang berlaku.
“Biarpun kami tinggal dalam keadaan rumah yang sebegini, namun saya amat bersyukur kerana masih mampu memberi kebahagiaan kepada anak-anak.
“Mereka (anak) tidak kisah jika tiada pakaian baharu atau alatan permainan seperti kanak-kanak lain. Apa yang mereka nak (mahu) adalah kegembiraan dan faham keadaan ibu ketika ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Terdahulu, kediaman Zuraida di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar di sini dikunjungi Sukarelawan Nek Norbi kira-kira pukul 4.30 petang.
Menurut Zuraida, gaji yang diperoleh hanya cukup untuk mereka makan anak-beranak dan bersyukur kerana ahli keluarga sedia membantu jika berdepan sebarang masalah
Dalam pada itu, tinjauan di segenap bahagian kediaman yang dihuni wanita itu mendapati keadaan lantai simen rosak dan terdapat kesan selut kering akibat dilanda banjir kilat tahun lalu.
Selain itu, ruang tamu turut dijadikan sebagai bilik tidur anak-anaknya serta ruang persalinan, manakala bahagian rumah papan juga didapati hampir roboh.
Justeru, Zuraida berharap ada pihak terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Zakat Pulau Pinang sedia membantu menguruskan hal persekolahan dua anaknya tahun ini mahupun bantuan tambahan bagi meringankan beban yang ditanggungnya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun CIMB milik Zuraida di 7625134309 atau menghubunginya di talian 011-1658 8837.