fbpx

Nostalgia 30 tahun nasi paku berkubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan paku atau bahan seum­pamanya yang berbahaya pada pembungkusan makanan dan jika ingkar, tindakan undang-undang akan diambil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 yang sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan, jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, Dr. Noor Hisham dalam kenyataannya turut menyebut, hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemukan dalam makanan.

Dengan kenyataan daripada Kementerian Kesihatan itu, rata-rata peniaga khususnya dari negeri Kelantan yang sudah 30 tahun menggunakan ‘trademark’ dalam pembungkusan makanan mereka itu terpaksa akur kerana bimbang mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya cara bungkusan itu masih diteruskan.

Bagi peguam Muhammad Amin Abdullah, tindakan Kementerian Kesihatan yang menggunakan akta itu bagi kes pendakwaan kepada peniaga yang membuat kesalahan tersebut disifatkan wajar kerana melibatkan kesihatan dan ke­selamatan orang awam.

“Apa yang lebih membimbangkan, peniaga berhadapan de­ngan disaman melalui tindakan sivil oleh pelanggan-pelanggan yang terkesan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini (tertelan paku) akibat daripada pembungkusan makanan itu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Amin berkata, meskipun teknik bungkusan itu lain daripada yang lain dan menjadi tradisi mahupun ‘trademark’ yang mampu menarik minat dan perhatian pe­langgan, namun peniaga-peniaga di luar sana harus memastikan tatacara pembungkusan makanan itu selamat kerana pelanggan tidak semestinya orang dewasa tetapi kanak-kanak.

Terdahulu menurut satu perkongsian Public Health Malaysia di laman Facebooknya, sekiranya seorang kanak-kanak tertelan paku, mereka perlu menjalani imbasan dan jika mendapati paku tersebut telah sampai ke bahagian perut, kanak-kanak itu perlu segera dibedah untuk mengeluarkan paku tersebut.

Perkongsian itu turut menyebut, jika ada peniaga yang masih membungkus makanan menggunakan paku, laporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

Seterusnya, bagi mencegah kejadian berisiko ini, pembeli perlu mengelakkan membeli makanan yang dibungkus dan ditutup dengan menggunakan paku dan pengendali makanan juga disarankan untuk mengelakkan penggunaan paku pada bungkusan makanan.

“Orang ramai juga sepatutnya tidak meletakkan paku di kawasan tempat makanan seperti meja dapur atau tempat yang boleh dicapai dengan mudah oleh kanak-kanak,” kata perkongsian Public Health itu.

Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai terkejut dan pelik dengan trend terbaru itu.

“Ada orang beli ke? Pembeli dan penjual macam tak boleh berfikir dengan waras. Cantum bungkusan makanan dengan paku?” kata seorang individu.

“Kalau ada terjumpa pe­ngendali makanan yang amalkan cara pembungkusan merbahaya, terus laporkan kepada jabatan kesihatan untuk tindakan. Kita jaga kita,” ujar seorang pengguna media sosial ketika meluahkan pandangannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI