MANCHESTER – Kem Manchester United terus bergolak selepas bintangnya, Cristiano Ronaldo mula berkira-kira untuk meninggalkan pasukan itu selepas kecewa dengan prestasi yang ditampilkan pasukan musim ini.
Ejen yang menguruskan karier pemenang lima kali Ballon d’Or itu, Jorge Mendes dilaporkan sudah tiba di Manchester bagi mengadakan perbincangan berhubung masa depannya di Old Trafford.
Difahamkan, Ronaldo menyuarakan kekecewaan selepas kepulangannya ke United berubah menjadi mimpi ngeri biarpun sudah menjaringkan 14 gol dalam 22 perlawanan setakat ini.
Bagaimanapun, gol-gol yang dijaringkan Ronaldo seperti tidak membawa sebarang makna apabila skuad The Red Devils itu berada di kedudukan ketujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Berdasarkan beberapa laporan, Ronaldo didakwa tidak gembira dengan falsafah bola sepak yang digunakan pengurus sementara, Ralf Rangnick selepas beliau menggantikan Ole Gunnar Solskjaer.
Sekiranya United gagal untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas Liga Perdana musim ini, kemungkinan besar Ronaldo akan meninggalkan pasukan memandangkan pemain antarabangsa Portugal itu mahu beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.
Pada masa sama, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Richard Arnold yang akan menggantikan Ed Woodward bulan depan turut tidak disenangi Ronaldo sehingga mencetuskan spekulasi dia akan meninggalkan United. – AGENSI