MELBOURNE – Bintang tenis dunia, Novak Djokovic akhirnya dilepaskan dan mendapat lampu hijau untuk beraksi di Grand Slam Terbuka Australia selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan kerajaan negara itu untuk membatalkan visanya.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Anthony Kelly memerintahkan pemain nombor satu dunia tersebut dibebaskan daripada tahanan tersebut di Hotel Park Melbourne selewat-lewatnya 5.46 petang semalam.
Mahkamah turut menolak keputusan kakitangan lapangan terbang bahawa Djokovic tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan terutama bukti pengambilan vaksin sebelum dibenarkan memasuki Australia.
Kelly turut menyatakan bahawa Djokovic telah memberikan bukti pengecualian perubatan kepada Persatuan Tenis Australia dan dua panel perubatan.
“Seorang profesor dan doktor berkelayakan memberikan pengecualian perubatan kepada pemohon (Djokovic). Panel pakar bebas tersebut ditubuhkan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Terdahulu, pemain Serbia tersebut tiba di Australia minggu lalu, namun kehadirannya telah dihalang oleh pihak imigresen dan visa kemasukannya dibatalkan selepas gagal membuktikan status vaksinasi yang menjadi kriteria utama untuk masuk ke negara itu.
Djokovic juga telah menghabiskan empat malam berada di pusat tahanan imigresen selain kerajaan Serbia mengutuk tindakan keras yang dilakukan Australia sebelum peguam Djokovic mengheret keputusan Kerajaan Australia ke mahkamah. – AGENSI