DINDING kosong di Stadium Mini Majlis Daerah Rembau (MDR) yang sebelum ini suram, kini diserikan dengan lukisan mural enam atlet negara yang merupakan anak jati Rembau.
Proses menyiapkan mural bernilai hampir RM20,000 itu hasil sentuhan pakar pelukis mural dari Kuala Pilah dan mengambil masa sebulan untuk disiapkan.
Menurut Yang Dipertua MDR, Mohamad Najib Mustafa, idea bagi menghiasi dinding kosong berkenaan dengan lakaran imej atlet terkemuka tanah air itu tercetus semasa berlangsungnya kejohanan bola sepak Piala Menteri Besar Negeri Sembilan 2021 baru-baru ini.
Katanya, ketika kejohanan berlangsung, pihaknya melihat dinding itu kosong dan suram dan sesuatu perlu dilakukan agar ia kelihatan lebih menarik.
“Kita fikir lebih baik sekiranya ia dihiasi lukisan mural yang mampu memberikan simbolik penghargaan kepada atlet-atlet negara khususnya di daerah Rembau.
“Jadi, kita dapatkan maklumat daripada Majlis Sukan Negeri dan mereka memberikan enam nama untuk diabadikan di dinding ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ujarnya, enam atlet yang merupakan anak jati Rembau itu adalah Nur Herman yang menyertai acara lari berpagar, Azman Adnan (pemain bola sepak), Farid Rahman (pemain ragbi), Hizlee Abdul Rais (pemain lawnball atau boling padang), Norazura Mod Zin (sukan petanque) dan Talib Ahmad (sepak takraw).
Menurutnya, ada antara atlet berkenaan yang masih lagi bermain mewakili nama negara di peringkat antarabangsa seperti Hizlee dan Norazura.
“Walaupun di daerah ini tiada tempat buat menjalani latihan boling padang, pemain kebangsaan bagi sukan tersebut merupakan anak jati Rembau.
“Ini merupakan satu kebanggaan buat daerah ini.
“Selain itu, terdapat juga yang sudah bergelar jurulatih serta mencungkil lebih banyak bakat anak-anak muda dalam bidang sukan seperti Talib Ahmad yang kini terbabit dalam pembangunan pemain sepak takraw di negara ini.” ujarnya.
Jelas Mohamad Najib lagi, bagi Azman Adnan pula, namanya sudah tidak asing lagi buat peminat sukan bola sepak tanah air.
Katanya, Azman merupakan penjaring terbanyak liga perdana suatu masa dahulu dan merupakan salah seorang penyerang terhebat yang pernah ‘dihasilkan’ negara.
“Sentuhan gol emas beliau banyak membantu pasukan yang disertai dan negara khasnya memenangi pertandingan.
“Nur Herman yang berasal dari Sepri pula merupakan pemegang rekod 110 meter berpagar paling lama iaitu selama 23 tahun.
“Rekod berkenaan telah dipecahkan oleh Rayzam Shah Wan Sofian,” katanya.
Menurutnya, seorang lagi atlet negara yang berasal dari Rembau ialah Farid Rahman yang menyinar dalam sukan ragbi serta pernah menjadi ketua pasukan ragbi Malaysia.
“Beliau (Farid) masih lagi aktif dalam memberi khidmat kepada sukan ragbi di negara ini,” katanya.
Menurut Mohamad Najib yang juga Pegawai Daerah Rembau itu lagi, beliau amat berharap agar simbolik penghargaan kepada atlet-atlet yang berkorban jiwa, raga, masa ,tenaga, dan keringat untuk mengharumkan nama negara akan dapat memberikan inspirasi kepada anak-anak muda di daerah berkenaan.
“Mungkin anak-anak muda boleh menjadikan mereka sebagai ikon dan idola.
“Mungkin satu hari nanti, ada lagi anak-anak Rembau lain berpeluang mengharumkan nama negara di persada antarabangsa seperti ikon-ikon yang kita pahatkan di dinding tersebut,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Najib berkata, pihaknya kini sedang dalam perancangan untuk menyerikan beberapa lokasi di daerah itu dengan lukisan mural yang memberi makna tersendiri kepada penduduk setempat.
“Kita fikir Pekan Kota dan sebuah taman perumahan di Chembong boleh dihiasi mural yang menarik.
“Malah, di Rembau Waterfront yang bakal menjadi tarikan baharu di daerah ini juga perlukan ‘seri’ mural sebagai tarikan kepada pengunjung.