SEPANG – Dua pembantu penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan menyebabkan kehilangan barangan rampasan dan menyembunyikan keterangan November tahun lalu.
Bagi tuduhan pertama, tertuduh, Mohd. Syahmir Mustafa, 42, dan Mazli Jamil, 45, didapati menyembunyikan barangan rampasan iaitu dua buah kotena berisi minuman keras dan rokok yang disimpan di Stor Simpanan JKDM, Dengkil pada 17 November lalu.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 10 malam hingga 12 tengah malam bagi kontena bernombor UETU5457898 dan BM0U6343884 yang sebelum itu dirampas di Lapangan Pemeriksaan Kontena, Pelabuhan Utara, Port Klang kira-kira pukul 10 pagi hari sama.
Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa menyembunyikan keterangan mengenai barangan rampasan sama di Stor Simpanan JKDM, Dengkil pada 24 November lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan kes disebut semula pada 7 Mac depan.
Sementara itu, dua lelaki iaitu Kenneth Lee Beng Hoong, 50, dan R Gunasegar, 35, turut dituduh di mahkamah sama kerana bersubahat dengan Mohd Syahmir dan Mazli membabitkan rampasan kontena yang sama.
Akhbar sebelum ini melaporkan, pada 25 November lalu, polis berjaya menahan tujuh individu termasuk empat anggota penguat kuasa selepas disyaki terbabit sindiket samun minuman keras di Sepang dan Shah Alam.
Penguat kuasa berusia antara 25 hingga 49 tahun itu dipercayai membantu sindiket samun dengan membocorkan maklumat berhubung tempat penyimpanan minuman keras dirampas polis sebelum ini.- K! ONLINE