BERLIN, Jerman – Seorang guru yang dituduh membunuh dan memakan lelaki yang dikenali menerusi sebuah platform cari jodoh telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, lapor akhbar The New York Post, kelmarin.
Tertuduh yang dikenali sebagai Stefan R, 42, dikatakan ‘memburu’ mangsa menerusi platform cari jodoh bagi memenuhi fantasi kanibalismenya.
Menurut mahkamah Berlin, Stefan membunuh mangsanya untuk mendapat kepuasan seksual eksotik dan turut memakan bahagian sulit mangsa.
“Apa yang anda lakukan adalah tidak berperikemanusiaan,” kata Hakim Matthias Schertz.
Bagaimanapun, Stefan menafikan melakukan pembunuhan itu dan mendakwa mangsa yang juga seorang mekanik, maut ketika tidur di sofa apartmen miliknya.
“Saya tidak membuat panggilan kecemasan kerana takut identiti sebagai seorang homoseksual terbongkar,” katanya.
Mahkamah memutuskan bahawa tertuduh didapati bersalah atas jenayah yang sangat serius dan tidak boleh dibebaskan dengan parol automatik selepas 15 tahun seperti kebanyakan kes bunuh lain di Jerman. – Agensi