Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki warga emas kerugian wang sebanyak RM8,832 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pinjaman tidak wujud di Kepala Batas, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berusia 60 tahun melihat iklan pinjaman wang yang menawarkan faedah bayaran balik rendah menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.
Katanya, mangsa yang meninggalkan butiran maklumat di laman terbabit kemudiannya menerima khidmat pesanan ringkas daripada individu yang mengaku sebagai ejen pinjaman peribadi.
“Mangsa yang bersetuju untuk meminjam RM100,000 diminta untuk melakukan beberapa transaksi bagi urusan pemprosesan pinjaman.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta supaya memasukkan lagi sejumlah wang bagi tujuan pembayaran cukai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata wang simpanan milik seorang surirumah berjumlah RM2,550 lesap selepas ditipu sindiket penipuan pelaburan tidak wujud sejak bulan lalu.
“Wanita yang berusia 59 tahun itu tertarik selepas melihat iklan pelaburan wang di Facebook yang menawarkan pulangan lebih tinggi hanya dalam tempoh tiga hingga 24 jam dengan hanya bermodalkan RM350.
“Mangsa yang mendakwa ditawarkan pulangan wang sebanyak 20 kali ganda kemudiannya memasukkan sejumlah wang tanpa menandatangani sebarang dokumen perjanjian.
“Mangsa sedar dirinya ditipu apabila diminta untuk membayar lagi sejumlah wang bagi tujuan pembayaran cukai syarikat,” katanya.
Kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – K! ONLINE