SEBERANG PERAI – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot tunda Nautillus dan ‘barge’ atau tongkang Singa Besar yang disyaki berlabuh tanpa kebenaran di perairan negeri ini dekat sini awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot dan tongkang itu ditahan semasa rondaan rutin kira-kira pukul 10.15 pagi pada jarak 0.5 batu nautika dari barat Penaga, Kepala Batas.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, kesemua kru yang terlibat gagal mengemukakan dokumen kebenaran berlabuh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia ketika diminta.
“Berge bermuatan jentera dan bot tunda itu dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada enam warga Indonesia serta dua warga tempatan berusia dalam lingkungan 21 hingga 48 tahun itu. Mereka bagaimanapun memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.
“Nakhoda bersama seorang ketua jurutera kemudian dibawa ke ibu pejabat Maritim negeri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Razak, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Dalam hal ini, Maritim Malaysia ingin menegaskan kepada semua pemilik kapal supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang laut yang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai, sebarang aduan berkaitan boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau menerusi talian kecemasan MERS 999. – K! ONLINE