KUALA TERENGGANU – Tembelang seorang doktor yang disyaki menjalankan aktiviti mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu kepada golongan anti vaksin terbongkar dalam satu serbuan pada kelmarin.
Lelaki berusia 51 tahun itu diberkas dalam serbuan dilakukan di sebuah klinik swasta di Marang pada pukul 7 malam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati suspek mengenakan caj antara RM400 dan RM600 bagi setiap sijil vaksinasi terbabit.
“Kita percaya suspek menggunakan modus operandi menjual sijil vaksinasi disyaki palsu itu secara online.
“Kegiatan tidak bertanggungjawab ini dipercayai sudah bermula sejak bulan September tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.
Rohaimi berkata, pemeriksaan mendapati sebahagian pelanggan yang membeli sijil terbabit beralamat di Kuala Lumpur dan Kedah. – K! ONLINE