JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di Segamat semakin pulih setelah jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 1,110 mangsa daripada 299 keluarga direkodkan setakat pukul 12 tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah itu menyusut berbanding 1,246 mangsa daripada 336 keluarga yang direkodkan tengah malam tadi.
Katanya, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Taman Suria yang menempatkan seramai 44 mangsa daripada 15 keluarga ditutup setelah pukul 9 pagi tadi setelah kesemua mereka pulang ke kediaman masing-masing.
“Setakat 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di negeri ini berkurangan kepada 3,026 mangsa daripada 876 keluarga berbanding 3,161 mangsa daripada 915 keluarga yang direkodkan tengah malam tadi.
“Sementara itu, bilangan mangsa banjir di tiga lagi daerah yang terjejas tidak mencatatkan perubahan berbanding rekod tengah malam tadi.
“Seramai 678 mangsa daripada 206 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Tangkak, 1,107 mangsa daripada 337 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Muar dan 130 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di dua PPS di Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vidyananthan berkata, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor menunjukkan aras air sungai di kawasan terjejas menunjukkan trend penurunan namun ada sebahagiannya masih berada di paras bahaya.
Katanya, ia melibatkan sungai di Buloh Kasap, Segamat serta sungai di Kampung Olak Sepam, Liang Batu dan Bukit Kepong, Muar.
“Jabatan Kerja Raya Negeri Johor memaklumkan Jalan Tekam-Pogoh dan Jalan Muar-Labis ditutup untuk semua kenderaan kerana masih digenangi banjir setinggi 0.6 meter manakala Jalan Kemuning 1, Felda Bukit Aping, Kota Tinggi ditutup akibat kejadian tanah runtuh,” ujarnya. – K! ONLINE