GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan melecur pada tangan kiri akibat kebakaran tilam di bilik tidurnya di Flat Sri Saujana, Gat Lebuh Macallum di sini malam tadi.
Mangsa berusia lingkungan 70-an dilaporkan melecur 30 peratus dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohamad Yahaya Murad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.55 malam dan tiba ke lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, mangsa telahpun diberi rawatan awal oleh unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang.
“Sebaik pasukan tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah tilam yang terbakar 10 peratus dan telah mengakibatkan seorang mangsa lelaki melecur pada tangan.
“Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan api telah berjaya dipadamkan sepenuhnya kurang lima minit kemudian,” katanya hari ini. – K! ONLINE