fbpx

‘Suami tak sempat tatap wajah anak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUASANA pilu ketika selesai solat jenazah Allahyarham Mohd. Ikram di Surau Al-Hukmiah, Petaling Jaya baru-baru ini.

PETALING JAYA – Hari bahagia yang diimpikan seorang wanita untuk melahirkan zuriat sulung pada April depan selepas 10 tahun menanti tidak kesampaian apabila suaminya menghembuskan nafas terakhir ketika bertugas membantu mangsa banjir di Bukit Lanchong pada 5 Januari yang lalu.

Lebih menyedihkan apabila wanita berkenaan, Dilla, 36, terpaksa menerima hakikat kehilangan insan tersayang hanya selepas tiga bulan bapanya menghadap Ilahi.

Menurut Dilla, kehilangan dua lelaki paling bermakna dalam hidupnya ketika dia sarat me­ngandungkan anak sulung merupakan dugaan hidup paling besar yang pernah dihadapinya,

Kata wanita itu, dia dan arwah suaminya, Mohd. Ikram Bakri, 39, telah berkahwin selama lebih 10 tahun dan hanya menunggu masa untuk mendapat zuriat sulung pada April ini.

“Saya masih bersedih apabila arwah (suami) baharu sahaja meninggal dunia, sedangkan kami sedang menanti hari kelahiran anak pertama.

“Saya pernah dua kali me­ngandung, tetapi keguguran dan mungkin belum rezeki kami untuk ada anak. Tetapi Allah berikan kami rezeki kali ini dan hanya tinggal tiga bulan sahaja untuk kami bergelar ibu dan ayah.

“Bagaimanapun, Allah lebih sayangkan suami dan saya reda dengan takdir ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Gambar kenangan Allahyarham Mohd. Ikram.

Jelas Dilla, arwah suaminya dimaklumkan mengalami serangan jantung ketika bertugas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Suami merupakan pembantu kesihatan awam di bawah Jabatan Kesihatan, Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Kalau ikutkan, sekarang ini genap 10 tahun 10 bulan usia perkahwinan kami, dan sebagai hadiah kali ini, saya bakal menimang cahaya mata sulung yang sangat dinantikan keluarga,” tambahnya.

Bercerita lanjut, Dilla memberitahu, arwah suaminya sa­ngat teruja setelah mengetahui jantina pertama anak mereka adalah lelaki ketika mendapatkan pemeriksaan kandungan di sebuah klinik.

“Suami seronok sangat apabila tahu jantina anak seorang lelaki, tetapi dia tak sempat tatap wajah anak kami,” katanya yang memaklumkan arwah suaminya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Medan, Petaling Jaya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI