PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) ibadah umrah sedia ada untuk dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
MOTAC menerusi satu kenyataan berkata, SOP itu akan disesuaikan dengan keperluan semasa dalam menangani ancaman penularan Covid-19 ketika ini.
Menurutnya, MOTAC akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Persatuan-Persatuan Agensi Pelancongan mengenai SOP baharu itu.
“Antara cadangan yang akan dibincangkan termasuk pengesahan vaksinasi jemaah sebelum menerima bayaran pakej perkhidmatan umrah atau ziarah.
“Cadangan lain termasuk menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel yang telah dikenal pasti oleh Nadma apabila pulang ke Malaysia,” katanya hari ini.
Katanya, pengumuman penangguhan ibadah umrah bermula 8 Januari lalu telah menjejaskan perancangan penggiat industri namun, mereka menyatakan komitmen untuk terus berjuang meskipun terpaksa mengalami kerugian.
Justeru, MOTAC akan berusaha mencari penyelesaian terbaik demi meringankan impak terhadap syarikat pengendali umrah di bawah kementerian yang terkesan dengan penangguhan itu.
Katanya, cabaran besar yang dihadapi penggiat industri merangkumi empat perkara iaitu visa umrah, pengangkutan jemaah di lapangan, tempahan penginapan dan makanan jemaah yang tidak dapat ditebus semula. – K! ONLINE.