BUAT pertama kali selepas hampir dua tahun menyepi daripada radar industri, bekas anggota kumpulan AOA iaitu Jimin kembali ke media sosial dengan berkongsi hadiah kepada peminatnya.
Pada 2020, dunia hiburan K-pop digemparkan dengan pendedahan seorang lagi anggota AOA, Mina yang mendakwa dibuli Jimin sepanjang mereka bersama.
Selepas berlaku banyak pendedahan, Jimin tampil membuat permohonan maaf menerusi Instagramnya pada Julai tahun sama, sebelum bertindak mengundur diri daripada AOA, sekali gus menyepikan diri.
Bagaimanapun hujung minggu lalu, Jimin membuat kejutan apabila menghadiahkan peminat sebuah lagu baharu berjudul Suddenly.
Dia berkongsi sebuah video sedutan lagu tersebut berserta kapsyen ringkas berbunyi: “Kejutan untuk kesayangan saya. Sudah dilancarkan sekarang. Pautan pada bio. #happyjiminday.”
Kemunculan semula Jimin nyata mengejutkan ramai peminat tetapi pada masa sama melegakan mereka kerana akhirnya dapat menyaksikan penyanyi itu kembali aktif.