SEGAMAT – Lebih 300 sekolah di seluruh negara dikenal pasti terjejas akibat banjir dengan sebahagiannya telah dibuka bagi sesi persekolahan penggal ketiga bermula hari ini untuk kumpulan A.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, sekolah yang masih belum dibuka itu disebabkan masih digenangi air, dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) atau masih dalam proses pembersihan.
“Sebahagian sekolah bermula hari ini di negeri kumpulan A dan ada beberapa yang belum dapat dibuka termasuk di Sabah, Pahang dan Selangor.
“Maklumat mengenai status sekolah ini akan dikemas kini oleh pejabat pendidikan daerah dari semasa ke semasa bagi menentukan pembukaan sekolah,” katanya dalam tinjauan kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pogoh di sini, hari ini.
Menurut Mohamad Alamin, sekolah yang tidak dibuka mengikut jadual asal dijangka memulakan sesi persekolahan pada minggu hadapan.
Jelasnya, lebih 14,000 pelajar terjejas akibat banjir dibenarkan untuk memakai pakaian biasa ke sekolah dan Kementerian Pendidikan turut memberi jaminan bekalan buku teks mencukupi bagi menggantikan lebih 260,000 buku teks yang rosak akibat banjir.-K! ONLINE