JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan meminta peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan persekutuan bagi menghidupkan semula projek Infra Saliran Johor Barat bagi mengelak kejadian banjir lebih buruk berlaku di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, projek Infra Saliran Johor Barat yang dilaksana pada tahun 1971 dengan peruntukan berjumlah RM700 juta yang diterima daripada Bank Dunia itu telah dihentikan pada tahun 1999.
Jelas beliau, projek berkenaan melibatkan kawasan pantai barat negeri ini dengan pembinaan benteng dan parit serta penyelenggaraan sungai dan cerun-cerun sepanjang 5,000 kilometer.
“Namun apabila peruntukan tamat, projek itu dihentikan. Kini apabila air pasang, paras air laut sudah hampir mencecah ketinggian benteng yang dibina pada tahun 1971 akibat pemanasan global.
“Sebab itu kita minta pusat peruntukkan RM1 bilion dibawah program Infra Saliran Johor barat untuk dihidupkan semula kerana ‘profile’ benteng, sungai, parit sudah berubah dan struktur sedia ada sudah tidak mampu menampung kenaikan paras air laut,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pensijilan ISO 9001:2015 Perbadanan Pengurusan Pinang 3, Taman Daya, di sini hari ini.- K! ONLINE