fbpx

Pengurus syarikat didakwa beri rasuah RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asdi Ali mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi rasuah RM10,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pengurus syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM10,000 kepada jurutera daerah Jabatan Kerja Raya (JKR), tahun lalu.

Tertuduh, Asdi Ali, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memberi suapan RM10,000 kepada jurutera daerah JKR Hulu Selangor sebagai dorongan mendapatkan anggaran harga jabatan serta untuk mendapatkan kerja-kerja mengganti dan meningkatkan aspek keselamatan jalan raya di Jalan Batang Kali-Genting Highlands (B66), Hulu Selangor, Selangor.

Tindakan sama juga melibatkan kerja membaik pulih permukaan jalan serta kerja-kerja berkaitan di Jalan Kuala Kali-Rasa, Hulu Selangor.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kelab golf Forest City di Jalan Persiaran Golf 5, Gelang Patah, dekat sini, Januari tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, Asdi didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa daripada SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Mohd. Aliff turut meminta kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor untuk dibacakan bersama kes melibatkan siasatan yang sama dengan pegawai penyiasatan dan saksi yang sama.

Hakim membenarkan jaminan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam diguna pakai selain membenarkan kes dipindahkan ke mahkamah berkenaan selain menetapkan 26 Januari sebagai sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI