GEORGE TOWN – Seorang wanita dikhuatiri sesat semasa melakukan aktiviti pendakian di Taman Botani, Jalan Kebun Bunga di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.04 petang semalam, mangsa yang dikenali sebagai Dewi, dipercayai gagal menemui jalan keluar selepas kira-kira dua jam mendaki kawasan tersebut.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, mangsa tersebut dapat dihubungi melalui panggilan telefon dan telah menghantar lokasi melalui aplikasi WhatsApp kepada Komander operasi.
“Operasi pencarian pada waktu malam diteruskan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), pasukan polis dan juga orang awam yang mahir dengan laluan pendakian di bukit tersebut namun sehingga pukul 2 pagi mangsa masih belum ditemui.
“Komander operasi membuat keputusan untuk menanguhkan sementara operasi pencarian pada pukul 2.15 pagi, kerana tiada petunjuk lokasi mangsa berada pada ketika ini,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap tersebut memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada pukul 8 pagi ini dan Pos Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di lokasi kejadian. – K! ONLINE