PETALING JAYA – Pemergian suami tercinta yang meninggal dunia pada 5 Januari yang lalu memberi tamparan hebat kepada seorang wanita yang kini berseorangan sambil menantikan kelahiran zuriat pertama mereka.
Seorang pengguna, Laila Aqila, berkongsi cerita mengenai kisah hidupnya di media sosial yang terpaksa bersendirian setelah kehilangan peneman hidup buat selama-lamanya.
“Papa (suami) pergi buat selamanya, tinggalkan mama (Laila) bersama zuriat yang bakal lahir bulan tiga nanti.
“Ini merupakan penantian kita selama 10 tahun,” katanya.
Lebih menyedihkan, apabila arwah suaminya, Mohd Ikram Bakri sangat teruja setelah mengetahui jantina pertama mereka seorang lelaki ketika mendapatkan pemeriksaan kandungan dan malangnya, anak yang bakal dilahirkan itu tidak dapat bertemu bapanya.
“Papa seronok sangat apabila tahu jantina anak seorang lelaki, tapi papa tak dapat jumpa anak kita nanti,” ujarnya.
Katanya, hidupnya kini sunyi dan sangat terkesan dengan apa yang berlaku dan merasa sedih disebabkan perlu meneruskan hidup tanpa suami dengan anak yang masih di dalam kandungan.
Sementara itu, rata-rata orang ramai turut bersimpati dengan wanita itu dan mendoakan agar dia kuat membesarkan anak-anaknya.
“Bersabar ya, Allah tahu awak kuat, sebab itu dia uji awak dan perlu kuat demi anak-anak, selalu berfikiran positif,” kata @lynnluqman.
“Kuatnya awak, semoga anak yang bakal lahir jadi penguat semangat awak dan keluarga, Allah uji sebab Allah sayang dan awak mampu,” kata @ImahMatali.
Dalam pada itu, ada juga pengguna yang pernah mengalami situasi yang sama disebabkan kematian suami dan mereka turut memberi kata-kata semangat kepada wanita itu di ruangan komen.
“Semoga tabah awak, saya pun baru sahaja suami meninggal disebabkan Covid-19 ketika tengah sarat mengandung lapan bulan masa itu, sekarang anak dah lahir masuk empat bulan,” kata Naizatul Wahidah.
“Allah, mengalir air mata saya, awak kena kuat, saya pun ibu tunggal dan perlu kuat untuk besarkan anak-anak,” kata Lailanadzirah. – K! ONLINE