PARIS – Angka keseluruhan kes Covid-19 global melepasi 300 juta kelmarin dengan penularan pantas varian Omicron mencatatkan rekod jangkitan baharu di berpuluh-puluh negara sepanjang minggu lalu, lapor portal berita CNA.
Dalam tempoh tujuh hari minggu lalu, sebanyak 34 negara mencatat jangkitan mingguan tertinggi sejak pandemik bermula, termasuk 18 negara di Eropah dan tujuh lagi di Afrika, demikian menurut angka agensi berita AFP berdasarkan data rasmi.
Walaupun jauh lebih mudah berjangkit berbanding varian konovirus sebelum ini, kes Omicron didapati menyebabkan gejala yang kurang teruk. Varian baharu itu bagaimanapun mencatat rekod dengan 13.5 juta kes pada minggu lalu sahaja.
Angka tersebut adalah 64 peratus lebih tinggi berbanding tujuh hari sebelumnya.
Di Perancis, pihak berkuasa kesihatan negara itu berkata, risiko kemasukan ke hospital akibat Omicron adalah sekitar 70 peratus lebih rendah berbanding varian sebelum ini.
Paris menyatakan demikian dengan memetik data dari Amerika Syarikat, Britain, Kanda dan Israel.
Walaupun begitu, selepas purata dua juta kes baharu direkodkan setiap hari di seluruh dunua, pakar-pakar memberi amaran, jumlah begitu besar itu mengancam menyebabkan sistem penjagaan kesihatan lumpuh.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran, Omicron tidak wajar dikategorikan sebagai ringan dan berkata, varian itu menyebabkan orang ramai dimasukkan ke hospital dan masih meragut nyawa.
“Sebenarnya, tsunami jangkitan varian Omicron adalah begitu besar dan pantas sehingga menyebabkan sistem kesihatan di seluruh dunia tertekan,” katanya.
Penularan kilat Omicron yang berlaku sejak varian itu mula dikesan enam minggu lalu’ mendorong banyak negara menyegerakan program vaksinasi dan memperkenalkan semula sekatan lebih ketat.