SUDAH hampir dua bulan penyanyi rap Yonnyboii melayari rumah tangga bersama wanita pilihan, Nik Nazira Narriman. Sejak bertukar status menjadi suami orang pada 20 November tahun lalu, Yonny mengakui semakin bahagia dalam menjalani hari-harinya sebagai lelaki berumah tangga.
Ujar Yonny atau nama lengkapnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 24, ketika dihubungi Pose berkata, mahligai yang dibina bersama si isteri membuatkan dirinya semakin matang dalam memegang tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Alhamdulillah setakat ini apa yang boleh saya katakan, perjalanan perkahwinan dengan Nazirah banyak mengubah saya menjadi seorang lelaki yang lebih matang.
“Banyak yang saya belajar untuk menjadi suami terbaik. Selepas berkahwin, saya kena lebih bertimbang rasa terhadap isteri. Apa sahaja yang saya lakukan, saya tidak boleh fikir tentang diri sendiri sahaja,” katanya.
Dia sebaliknya perlu memikirkan soal hati si isteri dan tidak akan memaksa wanita itu melakukan perkara yang enggan dilakukan.
Apa yang paling penting, Yonny dan isteri banyak berkomunikasi dan berbincang dalam setiap kehidupan.
“Saya boleh lihat perkahwinan ini menjadikan saya lebih ‘manusia’. Memang berbeza ketika saya bujang. Saya boleh buat apa sahaja sendirian.
“Sekarang ini tidak lagi. Perubahan paling besar dalam diri selepas berkahwin adalah, saya jadi rajin untuk berkemas dan buat kerja-kerja rumah,” katanya.
Sebelum ini, Yonny bukanlah seorang yang rajin untuk mengemas rumah, namun selepas berkahwin, dia berubah dan menjadi ‘ringan tulang’ demi insan tersayang.
“Di rumah, sayalah yang basuh pinggan. Kasihan isteri sudah penat memasak. Semua benda dia buat. Jadi sebagai suami, tidak salah jika saya membantu meringankan kerjanya di dapur.
“Boleh kata saya memang seorang yang pemalas sebelum ini, tapi sekarang saya cuba berubah menjadi lebih rajin,” kata Yonny.
Selain ringan tulang, rutin harian pelantun lagu Tak Sangka itu juga mengalami perubahan apabila lebih suka berada di rumah, terutama pada waktu malam.
Kata Yonny, sebelum ini dia suka keluar melepak bersama kawan-kawan sehingga larut malam, namun aktivitinya berubah selepas mendirikan rumah tangga dan lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama isteri.
Bercakap tentang soal zuriat, Yonny dan isteri tidak menetapkan sebarang sasaran, namun merancang untuk memiliki cahaya mata, mungkin dalam tempoh dua tahun dari sekarang.
“Soal zuriat, saya tidak terlalu fikir sangat. Tapi kami merancang kalau nak ada anak mungkin dalam tempoh dua tahun dari sekarang. Sekurang-kurangnya selepas kami sudah puas berdua.
“Orang kata, anak menjadi pengerat hubungan suami isteri. Kalau ada rezeki awal, alhamdulillah,” katanya.
Sekadar bertanya tentang masakan air tangan isteri yang paling disukai, Yonny berkata, isterinya memang rajin memasak.
“Masakan isteri paling sedap ialah masak lemak cili api dan ayam masak kicap. Memang terbaik! Isteri memang rajin masak.
“Buka sahaja TikTok atau YouTube, dia akan tengok resipi.
“Saya pula setakat ini pernah masakkan sarapan roti canai untuk isteri.
“Itu pun roti canai segera. Tapi saya cuba nak belajar masak. Mana tahu kalau isteri mengandung nanti dan mengidam. Boleh saya masakkan,” katanya berseloroh.