fbpx

Ubah pembawaan diri, mahu jadi lebih matang, sopan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMAN TROYE

BARANGKALI menjadi selebriti bernama Iman Troye bukan satu hal yang mudah. Apa sahaja dilakukannya, sekelip mata akan mengundang perhatian ramai. Boleh dikatakan, lebih banyak negatif berbanding positif.

Berazam mengubah situasi tersebut, wanita muda yang terkenal dengan lagu Nang itu nekad mahu lebih mengawal pembawaan diri, selain menjadi seorang individu yang berjiwa dewasa berbanding sebelum ini. Sopan, matang dan lebih berhati-hati, itu tekad Iman tahun ini.

Sebetulnya, sudah banyak kali wajahnya menjadi penghias muka depan sisipan hiburan Pose sejak tahun lalu, namun masih banyak cerita yang belum pernah terungkai daripada pemilik nama pentas Iman Troye ini.

Sepertinya impak penyanyi genit itu sangat meninggalkan kesan buat semua sepanjang tahun 2021.

IMAN TROYE berazam mahu menjadi seorang wanita yang lebih sopan dan matang.

Menjemputnya ke sesi fotografi baru-baru ini, ternyata keperibadian anak kelahiran Selangor itu masih sama, sangat disenangi walaupun namanya sudah memuncak sehingga ke kota New York.

Jawapan yang diberi untuk setiap soalan juga kedengaran semakin matang dan serius.

Itu yang dapat penulis gambarkan tentang Iman saat meluangkan masa bersamanya baru-baru ini.

Bakal menginjak ke usia 20 tahun, Iman berkali-kali berkata, 2022 bakal menyaksikan perubahan sikap lebih dewasa dan sifat keanak-anakannya akan cuba dicampak sejauh mungkin.

Azam

“Kalau orang tanya apa azam saya untuk tahun ini, jawapannya semestinya klise iaitu mahu semua perkara bertambah baik.

“Semua itu termasuklah sikap dan cara pembawakan diri saya ketika berada di tempat umum mahupun dalam media sosial.

“Saya mahu menjadi seorang wanita yang fikirannya lebih matang dan sopan berbanding sebelum ini,” katanya dengan nada serius.

Iman bagaimanapun tidak bermaksud untuk melabel dirinya pada tahun lalu tidak berjiwa dewasa tetapi hanya mahu segala-gala yang akan berlaku pada 2022 tidaklah seteruk sebelum ini.

IMAN TROYE mahu mencabar diri menghasilkan sebuah lagu balada bagi membuktikan kemampuan nyanyiannya suatu hari nanti.

“Ya, sebelum ini saya akui banyak perkara yang dilakukan secara melulu dan kurang berfikir tentang risiko pada kemudian hari.

“Mungkin kerana terlalu selesa dalam industri.

“Semua itu yang buat saya berfikir dan menilai semula cara saya membawa diri sebagai seorang selebriti yang dikenali.

“Tahun lalu kerap juga nama saya jadi sebutan ramai kerana perkara-perkara yang tidak perlu. Jadi, kalau boleh tak mahu semua itu berulang,” tuturnya turut digelar sebagai penyanyi viral.

Dalam pada itu, dia juga menyimpulkan tahun 2021 sebagai satu perjalanan yang penuh berliku, namun masih terselit beberapa momen yang membanggakan.

“Tahun lalu terasa lama sangat, terlalu banyak liku yang saya lalui tetapi syukur dapat menghadapinya dengan baik,” ujarnya.

Impian AJL lebur

Bercakap tentang impian sebagai seorang penyanyi di Malaysia yang rata-ratanya pasti mendambakan pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai hala tuju, jawapan pemilik nama penuh Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin juga sama.

Saat lagu tular nyanyiannya, Teman berjaya ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-36 (SFMM36) baru-baru ini, Iman mengakui sangat gementar.

“Memang tidak sangka Teman diumum bertanding ke SFMM36, terkejut tetapi sangat gementar kerana bersaing dengan 29 lagu hebat lain.

“Biarpun tidak berjaya ke pentas AJL, saya okey kerana menganggap bukan rezeki saya.

TIDAK berjaya ke pentas AJL36 dengan lagu Teman, Iman berjanji akan berusaha memperbaiki diri agar menjadi lebih baik pada masa depan.

“Berjaya ke SFMM36 pun seperti satu kemenangan untuk Teman.

“Apapun saya minta maaf sekiranya ada yang berharap Teman ke AJL. Semua keputusan di tangan juri dan saya terima dengan berlapang dada,” katanya lagi.

Tidak kesampaian bertanding di pentas muzik ikonik, semangat Iman bagaimanapun untuk memahat nama di persada seni tanah air sebagai penyanyi berkaliber tidak pernah luntur.

“Insya-Allah saya akan terus berusaha menjadi lebih baik.

“Pesanan daripada penyanyi-penyanyi senior seperti Misha Omar dan Allahyarham Siti Sarah iaitu jangan ubah diri hanya kerana orang lain mahukannya sehingga hilang karakter asal. Itu yang akan saya pegang sampai bila-bila,” tuturnya.

Terus cabar diri

Benarlah katanya, menjadi seorang figura dikenali sepertinya bukan hal yang mudah, terutama apabila mutu nyanyian sering menjadi bahan kecaman netizen sehingga dicop tidak layak mendendangkan lagu bergenre balada.

Tidak mengambil pusing kritikan tersebut, Iman mahu menjadikan setiap kecaman sebagai cabaran dan pemangkin semangat untuk terus berjaya.

MENGANGGAP tahun 2021 sebagai sebagai perjalanan yang penuh berliku, Iman tetap bersyukur kerana dapat melalui setiap cabaran dengan baik.

“Memang ramai masih mempertikaikan tentang vokal, sampaikan ada yang cakap saya tak mampu menyanyikan lagu balada.

“Jika ada yang cakap saya tak boleh menyanyi lagu balada, mungkin saya akan sahut perkara tersebut dan muncul dengan karya bergenre sebegitu satu hari nanti.

“Daripada saya duduk bersedih baca komen, lebih baik cabar diri. Jika tak lakukan, kita tidak akan tahu kemampuan diri sendiri,” katanya seraya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI