KLANG – Struktur tebing parit besar di Kampung Johan Setia di sini yang rosak akan diperbaiki dalam masa terdekat bagi mengelakkan dan mengurangkan kesan limpahan air terutama ketika hujan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, beliau telah berbincang dengan kontraktor pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) 3 dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang untuk mengatasi masalah yang menyebabkan banjir di kawasan tersebut.
“Sebenarnya kerosakan itu telah diatasi dengan pemasangan tiang penahan sebelum ini.
“Bagaimanapun, ekoran banyak kenderaan berat menggunakan jalan tersebut menyebabkan mendapan berlaku di sekitar tebing parit tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kosmo! sebelum ini, melaporkan kira-kira 2,000 penduduk Kampung Johan Setia, di sini yang masih trauma dengan musibah banjir mahu sistem perparitan dipertingkatkan di lokaliti tersebut.
Ini ekoran perparitan sedia ada tidak mampu menampung aliran air terutama ketika hujan berterusan dari Jalan Kebun dan kawasan sekitar kampung ini.
Mengulas cadangan penduduk supaya mendalamkan parit berkenaan, Mohd.Zawawi menjelaskan perkara itu sukar dilakukan berikutan kawasan tersebut adalah tanah gambut.
“Tidak sesuai untuk parit besar dan berkemungkinan akan menyebabkan tebing itu mudah rosak,” katanya. – K! ONLINE