fbpx

Hampir 50,000 tan sisa banjir telah dikeluarkan dan dilupuskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reezal (kanan) turut turun padang melihat sendiri kerja-kerja pembersihan yang dilakukan.

PUTRAJAYA – Hampir 50,000 tan sisa banjir telah dikeluarkan dan diuruskan pelupusannya di seluruh Selangor.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bagi kawasan Shah Alam sahaja, lebih 20,000 tan sisa banjir telah diuruskan sepenuhnya.

“Saya ucapkan tahniah atas sinergi oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan syarikat-syarikat konsesi, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) serta pasukan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang telah dapat merawat keresahan rakyat pasca banjir ini.

“Hasilnya, hampir 50,000 tan sisa banjir telah dapat dikeluarkan dan diuruskan pelupusannya di seluruh Selangor.

“Bagi kawasan Shah Alam sahaja, lebih 20,000 tan sisa banjir telah diuruskan sepenuhnya,” jelasnya selepas menyertai program Mega Pembersihan Pasca Banjir yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kerajaan Negeri Selangor.

Reezal berkata, program berkenaan merupakan pelengkap kepada kerja-kerja pengurusan sisa banjir yang telah pun berjalan sejak dari awal insiden banjir berlaku di kawasan ini.

Katanya, hampir 2,000 orang sukarelawan serta pekerja pembersihan berada di sekitar Sri Muda pagi tadi bagi melaksanakan pembersihan awam khususnya melibatkan saliran perparitan yang tidak dapat dicapai oleh jentera pembersihan.

“Alhamdulillah, saya juga berbangga dengan pasukan KPKT yang sentiasa berada di setiap lokasi insiden, baik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, sehinggalah kepada pasukan sukarelawan MyLiveable Squad serta pasukan pembersihan, SWCorp dan juga syarikat konsesi.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada sukarelawan yang membantu sejak hari pertama baik dari pasukan NGO mahupun orang perseorangan yang tidak membawa sebarang jenama. Mereka ini turun atas kesungguhan untuk membantu tanpa jemu, sepanjang waktu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, usaha di Selangor ini akan menjadi templat dalam gerak kerja pasca banjir di negeri-negeri lain.

“Saya dan pasukan KPKT akan meneruskan komitmen kami dalam memastikan rakyat yang terjejas dapat melakukan aktiviti seperti biasa. Di mana ada keresahan rakyat, KPKT datang merawat,” tegasnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI