PETALING JAYA – Gara-gara kerap diganggu mimpi-mimpi aneh, penyanyi Ayu Damit mengambil inisiatif memanggil ustaz untuk datang ke kediamannya bagi melakukan proses ‘pagar rumah’ bagi mengelak daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.
Ayu atau nama lengkapnya Norayu Damit, 33, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia berasa bimbang terutama memikirkan tentang keselamatan keluarganya apabila mimpi yang dialaminya selama ini muncul di dunia nyata.
“Saya selalu termimpi didatangi ular hitam. Tapi bila ular hitam yang saya mimpi selama ini tiba-tiba muncul di rumah, saya jadi bimbang.
“Ramai yang nasihatkan saya untuk berubat sebab dikatakan perkara tersebut ada kaitan dengan ilmu sihir. Jadi saya telah memanggil seorang ustaz untuk datang ke rumah sebagai jalan ikhtiar melindungi saya dan juga keluarga,” katanya.
Ujar pelantun lagu Hanya Di Mercu itu lagi, ustaz yang datang ke rumah itu memberitahu memang terdapat ‘sesuatu’ di dalam kediamannya dan memintanya serta keluarga tidak ‘melayan’ benda tersebut.
“Ustaz yang datang ke rumah telah membacakan ayat-ayat Ruqyah dan ‘memagar’ kawasan rumah selama tiga malam berturut-turut.
“Selain itu saya juga dinasihati supaya memperbanyakkan amalan membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam rumah selain mengamalkan beberapa bacaan lain terutama ketika waktu Maghrib,” katanya.
Jelas penyanyi kelahiran Sabah itu lagi, dia pada hakikatnya malas hendak memikirkan tentang perkara tersebut (disihir) kerana telah beberapa kali mengalami pengalaman serupa sehingga membuatkannya jatuh sakit.
“Saya malas nak fikir yang bukan-bukan. Sekarang pun saya banyak habiskan masa bersama keluarga. Ditambah dengan dengan jadual kerja yang padat termasuk jadual belajar, saya cuba mengelak daripada bergaul dengan ramai orang.
“Saya tidak tahu mungkin sebelum ini saya ada terlepas cakap pada mana-mana pihak sehingga mengguris hati mereka. Saya minta maaf,” katanya.
Ujar Ayu lagi, dia tidak menolak tentang perasaan hasad dengki orang lain terhadap dirinya kerana menganggap perkara itu adalah biasa terutama sekali dalam industri seni.
“Perasaan hasad dengki itu perkara biasa. Mungkin ada pihak tidak suka saya berada dalam industri atau tak suka tengok kita senang sedikit.
“Bagi saya, saya memang tidak peduli dengan apa yang orang nak cakap, asalkan keluarga tahu apa yang saya lakukan,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Ayu pernah berdepan detik cemas dan mengerikan apabila hampir dipatuk seekor ular dalam satu kejadian di kediamannya pada Disember lalu.
Ayu berkata, kejadian menyeramkan itu berlaku ketika dia hendak mengambil kuali di dapur rumahnya.
Apa yang membingungkannya, Ayu berkata, dia juga pernah bemimpi dipatuk ular beberapa hari sebelum kejadian tersebut. Malah, ular yang ditemuinya di dapur rumahnya itu mirip seperti ular yang muncul dalam mimpinya. – K! ONLINE