LONDON – Ahli-ahli astrologi menemui satu filamen hidrogen yang dikatakan sebagai struktur terbesar dalam Galaksi Bima Sakti, lapor laman berita MailOnline semalam.
Struktur dinamakan Maggie itu merupakan filamen hidrogen besar yang memiliki panjang menyamai ukuran 3,900 tahun cahaya (satu tahun cahaya bersamaan dengan 9.44 trilion kilometer), manakala lebarnya pula adalah 130 tahun.
Filamen tersebut dipercayai terbentuk lebih 13 bilion tahun yang lalu. Struktur itu terletak sekitar 55,000 tahun cahaya dari Bumi.
Pasukan antarabangsa yang diketuai oleh ahli-ahli astronomi dari Institut Astronomi Max Planck (MPIA) mengukur struktur tersebut menggunakan satelit Gaia milik Agensi Angkasa Eropah (ESA).
Pengarang bersama kajian itu, Juan Soler telah menemui petunjuk pertama objek itu setahun yang lalu dan menamakannya Maggie sempena nama sungai terpanjang di negara asalnya Colombia. Sungai tersebut dipanggil Río Magdalena.
“Maggie sudah dikenal pasti dalam penilaian awal data, namun hanya kajian semasa membuktikan bahawa ia adalah struktur yang koheren,” kata Soler dalam satu kenyataan.
Hidrogen terbentuk sekitar 380,000 tahun selepas fenomena letupan Big Bang, manakala Galaksi Bima Sakti terbentuk kira-kira satu bilion tahun sebelumnya. Hidrogen merupakan unsur yang paling meluas di alam semesta.
Bagaimanapun, mengesan gas itu merupakan kerja yang sukar, justeru, penemuan filamen super panjang itu adalah perkara yang menarik sekali.
Pengarang pertama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Astronomy & Astrophysics itu, Jonas Syed berkata, lokasi filamen itu menyumbang kepada kejayaan mengesannya.
“Kami masih tidak pasti bagaimana filamen ini berada di sana tetapi ia memanjang sejauh 1,600 tahun cahaya di bawah dataran Bima Sakti.
Oleh kerana itu, katanya, radiasi daripada hidrogen itu yang mempunyai panjang gelombang 20.3 sentimeter menyerlah, menjadikan filamen itu boleh dilihat. – Agensi