SHAH ALAM – Kelewatan pemberian makanan dan basi antara ‘kenangan’ terpaksa ditempuhi penduduk Pangsapuri Andorra Taman Seri Muda ketika menempuh bencana banjir di lokaliti tersebut, bulan lalu.
Seorang penduduk, Liza Latif,49, keadaan itu menyebabkannya yang tinggal di tingkat dua pangsapuri itu mengambil inisiatif sendiri dengan memasak bersama jiran-jiran lain.
Katanya, mereka menggunakan segala bahan mentah yang ada dalam tempoh terperangkap ketika banjir berkenaan demi kelangsungan hidup.
“Pada mulanya, kami mengharapkan bantuan makanan namun penghantarannya lambat tambahan ada yang basi.
“Bukan tidak hargai usaha namun biar makanan diberikan dalam keadaan baik. Jadi, saya bersama jiran terdekat bergotong royong memasak sendiri sebelum diagihkan kepada mangsa-mangsa yang masih tinggal di blok yang sama,” katanya ketika ditemui ketika program pembersihan mega di kawasan tersebut hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk di aras bawah pangsapuri, Nizam Zahari, 35, berkata, semasa banjir berlaku dia sekeluarga berada di kampungnya di Kuantan, Pahang.
Tambahnya, perasaan sedih apabila mendapati banyak barangan elektrik serta motosikal dan kereta syarikatnya rosak.
“Banjir kali ini memang menduga kami namun saya redha, mungkin ada hikmah disebaliknya,” katanya.
Bencana banjir pada 18 Disember lalu telah menenggelamkan keseluruhan kawasan Taman Sri Muda dan terburuk sejak 1995. – K! ONLINE