PETALING JAYA – Penyanyi Nabila Razali lega apabila kecederaan pada tekak sehingga menjejaskan peti suara yang dialaminya sejak tahun lalu semakin pulih dan kembali normal.
Nabila atau nama lengkapnya Nur Nabila Mohd. Razali, 29, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia berasa sangat bersyukur apabila keadaan peti suaranya semakin baik, namun pada masa sama masih perlu menjaga kesihatan terutama soal pemakanan.
“Alhamdulillah keadaan suara makin pulih dan perlahan-lahan kembali normal. Kalau sebelum ini tekak selalu rasa tidak selesa. Nak telan air liur pun susah sebab bengkak pada tekak.
“Sekarang pun saya dah boleh makan pedas semula. Maksudnya tidak perlu hendak berpantang (makan) lagi. Tapi doktor pesan perlulah berpada-pada juga,” katanya.
Tambah penyanyi yang mesra disapa Bella itu lagi, dia juga kini mengikuti kelas vokal dan mempelajari beberapa teknik nyanyian yang boleh membantu meningkatkan stamina pada suara.
“Saya pun ada masuk kelas vokal dan mempelajari beberapa segi teknik nyanyian yang perlu diubah,” katanya.
Ketika dihubungi, Nabila turut berkongsi keadaan kakinya yang baru sahaja pulih selepas mengalami kecederaan ringan (lebam) gara-gara terjatuh sehingga menyebabkan kakinya terseliuh sewaktu membuat persembahan pada malam tahun baharu lalu.
Kata Nabila, kejadian itu terjadi sewaktu dia sedang membuat persembahan dan berjalan menuju ke pentas sambil memakai kasut tumit tinggi.
“Selepas terjatuh, saya tidak boleh menangguhkan persembahan dan perlu bersikap profesional. Balik rumah baru saya rasa sakit pada kaki dan mengalami sedikit lebam.
“Nak salahkan kasut pun, itu bukan pertama kali saya memakai kasut tersebut. Benda dah nak jadi,” katanya.
Penyanyi yang kini muncul dengan single baharu berjudul Putus itu bagaimanapun terharu apabila dia menerima banyak kiriman mesej daripada peminatnya dalam Instagram yang bimbang tentang keadaan dirinya selepas kejadian tersebut.
“Ramai yang mesej saya bertanyakan keadaan saya. Terima kasih untuk peminat yang bimbangkan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Nabila juga sempat mendedahkan perancangan untuk tahun 2022 apabila tidak sabar untuk mengumumkan ‘sesuatu’ kepada peminatnya sebagai antara kejutan yang dirancang pada tahun ini. – K! ONLINE