PASIR MAS – Dua lelaki dicekup selepas mereka dipercayai mengangkut sebanyak 50 ekor kambing seludup bernilai RM30,000 dengan sebuah lori di tepi jalan Kampung Repek di sini awal pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia 30 dan 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.50 pagi oleh pihak polis semasa menjalankan rondaan di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, semasa melakukan rondaan di jalan Repek-Lubok Jong di sini, anggota telah melihat dengan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, anggota polis terus mengekori sebelum menahan lori itu di tepi jalan Kampung Repek.
“Pemeriksaan pada bahagian belakang lori tersebut telah menemui sebanyak 50 ekor kambing. Pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkait dengan permit permindahan haiwan ternakan itu.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua individu itu mengaku terlibat dengan aktiviti penyeludupan kambing dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, berdasarkan keterangan mereka, kesemua kambing tersebut diambil di kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti untuk dihantar ke kandang di belakang Taman Tengku Anis, Lubok Jong di sini.
Menurutnya, hasil semakan mendapati, kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing menunjukkan mereka negatif dadah.
Tambahnya, kesemua rampasan kambing itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE