TAIPING – Polis berjaya membongkar kegiatan mencuri elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang bitcoin selepas menyerbu 10 buah premis di sekitar daerah ini semalam.
Serbuan bermula pukul 3.30 petang hingga 8.30 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Taiping dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak serta Juruteknik Khas Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dalam serbuan lebih lima jam itu, pihaknya merampas 480 unit mesin bitcoin selain monitor, unit pemprosesan komputer (CPU), papan kekunci, tetikus dan modem.
“Kesemua rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM720,000. Kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. – K! ONLINE