fbpx

Banteras rasuah dengan hukuman lebih tegas- Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu gejala rasuah dibanteras oleh kerajaan dengan mengenakan hukuman lebih tegas supaya pelakunya menjadi gerun dan takut.

Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam memahami dan menghayati intipati khutbah Jumaat yang dibacakan  khatib di masjid seluruh negeri ini semalam.

Memetik antara isi penting khutbah itu, baginda bertitah rasuah amat berbahaya dan bala besar selain memudaratkan masyarakat, orang Islam dan meletakkan pengurusan serta pentadbiran menjadi tidak stabil.

“Rasuah berlaku dalam semua urusan termasuk kehakiman, tanah, percukaian, zakat malah perkara yang melibatkan agama dan orang agama.

“Oleh itu, Allah mengharamkan rasuah dan melaknat pelakunya. Seseorang tidak boleh memberi rasuah dan seseorang pegawai juga tidak mengambilnya bahkan wajib berjaga-jaga darinya,” titahnya menerusi laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan amalan rasuah turut melibatkan orang agama biarpun mengetahui hukumnya haram dan berdosa besar.

“Namun, habuan dunia itu mengasyikkan dan menghilangkan sikap amanah, jujur dan keikhlasan yang tertanam dalam sanubari.

“Orang yang diharap dapat menjaga maruah diri dan agama bahkan sentiasa menyeru masyarakat dalam melakukan kebaikan boleh hanyut dan melanggar larangan Allah S.W.T,” titahnya.

Justeru, baginda bersetuju dengan saranan dalam khutbah itu supaya rasuah mesti dibanteras dengan mengenakan hukuman lebih tegas.

“Dalam menangani kes rasuah, pemerintah perlu lebih fokus kepada langkah pencegahan sebelum berlakunya kes jenayah tersebut.

“Allah menceritakan dalam al-Quran bahawa ada seorang alim mengakui kebenaran Muhammad S.A.W namun syaitan menggoda sehingga tergelincir dari agama benar kerana rakus mengikut hawa nafsu, kekuasaan dan kekayaan,” jelas baginda. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI