PETALING JAYA – Bapa kepada pelakon dan pengarah Ungku Ismail iaitu Ungku Abdul Aziz, 70, menghembuskan nafas terakhir hari ini.
Ungku Ismail berkongsi khabar berita duka tersebut menerusi beberapa hantaran dalam Instagramnya tanpa mendedahkan punca kematian ayahnya.
“Kita jumpa lagi ya Bah. Tidurlah sehingga hari itu,” tulisnya ringkas berserta sekeping foto di tanah perkuburan memperlihatkan jenazah Allahyarham ayahndanya selamat disemadikan.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut dan rakan selebriti menitipkan salam takziah buat Ungku Ismail sekeluarga atas pemergian bapa tersayang.
“Takziah buatmu sekeluarga. Semoga roh abah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
“Semoga arwah diberikan keampunan dan diletakkan dalam para Solihin. Al-Fatihah dan salam takziah,” tulis orang ramai.
Terdahulu, menerusi hantaran berbeza, pelakon drama Single Terlalu Lama itu turut memuat naik beberapa foto dia bersama arwah bapanya beberapa hari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.
Setakat ini, usaha Kosmo! Online mendapatkan Ungku Ismail masih belum berjaya. – K! ONLINE.