KAJANG – Warga Rohingya yang tinggal di negara ini diingatkan agar jangan ‘besar kepala’ hingga melanggar semua peraturan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jika mahu tinggal di negara ini mereka perlu ikut peraturan yang telah ditetapkan dan jika gagal tindakan tegas akan dilakukan.
“Walaupun pelarian warga Rohingya merupakan pemegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), ia bukan ‘lesen’ untuk mereka berbuat sesuka hati dan melanggar peraturan negara ini.
“Saya tak suka sesiapa yang naik kepala, melanggar undang-undang negara, tak kira sama ada dia warganegara atau tidak, mahupun pelarian perlu ikut undang-undang negara ini.
“Walaupun kita simpati mereka menghadapi masalah, mereka tidak boleh melakukan kesalahan yang boleh menyebabkan masalah yang lain seperti berniaga di lampu isyarat, meminta sedekah dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Mekar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, di sini.
Program itu bertujuan membantu memudahkan urusan mangsa banjir mendapatkan semula dokumen seperti MyKad, sijil lahir dan sijil kematian yang hilang atau rosak akibat banjir.
Dalam pada itu, tegas beliau, pihaknya sudah mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memberi perhatian serius kepada perkara ini.
“Setiap anggota di lapangan perlu benar-benar faham keadaan mereka (pelarian) ini. Kalau mereka tak patuh, ambil tindakan segera,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, polis sedang menjalankan siasatan berkenaan pengemis jalanan yang membabitkan etnik Rohingya yang melakukan kegiatan mengemis di bandar besar di negara ini.
Katanya, kemungkinan wujud sindiket sebagai ‘dalang’ kepada etnik Rohingya di negara ini termasuk menggunakan kanak-kanak untuk mengemis. – K! ONLINE