PUTRAJAYA- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menjadikan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan premis Kemas sebagai pusat sehenti bagi menyemak kelayakan mendapatkan bantuan pembaikan rumah pasca banjir.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bancian jumlah rumah yang perlu dibaiki serta dibina semula sedang dilakukan dan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan sebaik data bancian lengkap.
“KPLB memutuskan untuk menjadikan tabika dan premis Kemas di lokasi banjir sebagai pusat sehenti mulai Selasa depan untuk memudahkan semakan dan pendaftaran kelayakan.
“Sebagai permulaan, KPLB akan berada di Tabika Kemas Bukit Changgang, Banting, Selangor selama tiga hari bermula Selasa ini untuk mengemas kini dan menyemak data pemohon yang layak untuk bantuan pembaikan rumah pasca banjir,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mahdzir, semua permohonan Ketua Isi rumah (KIR) untuk pembaikan rumah perlu dibuat melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan Pejabat Daerah sebelum disah dan didaftarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, ICU, Jabatan Perdana Menteri. – K! ONLINE