PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan penambahbaikan Kemudahan Bantuan Bencana dan pelaksanaan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia bagi meringankan beban golongan yang terjejas selepas dilanda banjir baru-baru ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan Kemudahan Bantuan Bencana bagi meringankan bebas perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah ditingkatkan daripada RM200 juta kepada RM500 juta.
“Ciri-ciri kemudahan ini juga telah ditambah baik di mana jumlah pembiayaan maksimum ditambah daripada RM500,000 kepada RM150,000 untuk perusahaan mikro manakala tempoh pembiayaan maksimum dipanjangkan daripada lima tahun kepada tujuh tahun.
“Menerusi inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia pula, sehingga RM1,000 untuk warganegara layak telah diumumkan bagi tujuan pembaikan atau penggantian kenderaan
penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Tengku Zafrul, inisiatif itu merupakan usahasama antara kerajaan dan syarikat automatif di mana syarikat akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus bagi kerja pembaikan serta tundaan kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000.
“Dalam hal ini kerajaan mengalu-alukan langkah syarikat Perodua dan Proton untuk menawarkan diskaun 50 peratus ke atas kos alat ganti manakala Perodua pula menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma.
“Untuk memanfaatkan baucar diskaun tersebut, pemilik kenderaan tidak perlu membuat sebarang permohonan sebaliknya pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar sah untuk syarikat automotif yang terlibat,” katanya.- K! ONLINE