IPOH – Raja Bomoh atau lbrahim Mat Zin berjanji tidak akan mengulangi upacara yang bertentangan dengan fatwa yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berkaitan amalan perbomohan yang melibatkannya.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 17 hingga 19 September 2014 telah memutuskan bahawa amalan perbomohan yang dilakukan Ibrahim berlawanan dengan hukum syarak dan haram.
Fatwa yang diwartakan pada tahun 2015 itu juga menyebut sebarang upacara dan amalan perbomohan yang dilakukan Raja Bomoh itu sama ada menggunakan objek tertentu atau tanpa menggunakan apa-apa objek sama ada untuk tujuan perubatan, perbomohan atau selainnya adalah berlawanan dengan hukum syarak dan haram.
Menurut Ibrahim, dia tidak mengetahui berkaitan fatwa berkenaan dan hanya dimaklumkan selepas ditahan bersama Suliaha Abdul Hamid oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) semalam bagi memberi keterangan berhubung ritual tolak banjir yang mereka lakukan di Dataran JPS, Teluk Intan pada Selasa lalu.
Katanya, beliau akan mematuhi pewartaan tersebut seperti mana yang telah diterangkan pihak JAIPk.
“Saya baharu dapat warta ini (fatwa), sebelum ini tidak tahu. Jadi saya akan mematuhinya dan ikut apa yang dimaklumkan pihak JAIPk.
“Saya bersyukur kepada Allah dan gembira kerana tahu mengenainya. Pada masa akan datang, saya tidak akan buat yang tidak baik, buat yang baik-baik sahaja untuk Perak, Teluk Intan dan Pasir Salak tanah tumpah darah saya.
“Terima kasih kepada JAIPk kerana berbincang dan memberi kesedaran kepada saya. Jadi, saya berharap rakyat agar patuhlah kepada fatwa,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh di sini hari ini. – K! ONLINE.