SABAK BERNAM – Satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu segera diadakan bagi membincangkan musibah banjir luar biasa yang melanda negeri ini, bulan lalu.
Ketua Pembangkang, Datuk Rizam Ismail berkata, pelaksanaan sidang itu perlu bagi
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam memberikan pandangan dan cadangan menghadapi banjir berikutan banyak kawasan penduduk terjejas akibat bencana tersebut.
Katanya, sidang itu turut membantu kerajaan negeri menyegerakan penyerahan bantuan kepada mangsa banjir.
“Banjir yang berlaku kali ini dianggar luar biasa. Penyerahan bantuan di Selangor juga dilihat agak terkebelakang dengan jumlah penerima masih berada peratusan remdah berbanding negeri lain seperti di Pahang yang dapat melakukannya dengan lebih cepat.
“Jadi, kita perlu mengadakan sidang khas bagi memikirkan cara terbaik tangani kesemua ini,” katanya selepas menyerahkan sumbangan persekolahan kepada sebuah keluarga di Taman Air Manis di sini, hari ini.
Menurut beliau yang juga ADUN Sungai Air Tawar, sidang khas itu turut memberi peluang kepada ADUN mengemukakan aduan berkaitan saliran longkang dan kunci air rosak.-K!ONLINE