fbpx

Cabaran naikkan ‘keret kebal’ kolam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAUNG ekor merah Amazon yang menjadi buruan akhirnya dapat ditewaskan.

Oleh DZUL ASYRAF

BEBERAPA minggu sejak kunjungan ke Kolam 24 di Shah Alam, Selangor, penulis sekali lagi merancang untuk turun ke sebuah lagi kolam komersial yang di dalamnya penuh dengan ikan-ikan eksotik.

Sasaran utama untuk misi kali ini baung ekor merah Amazon (Phractocephalus hemioliopterus).
Spesies berasal dari lembangan Sungai Amazon itu pada mulanya dibawa masuk sebagai ikan hiasan, hasil permintaan peminat ikan-ikan eksotik tempatan.

Namun, tempoh tumbesaran yang cepat dan selera makannya yang besar, membuatkan ramai melepaskan ke sungai atau menjualnya ke kolam-kolam pancing komersial.

Daya tentangan yang kuat membuatkan ikan ini sentiasa menjadi buruan buat pemancing teknik casting dan bottom tempatan.

Mendapat jolokan ‘kereta kebal’ kerana mempunyai kepala keras persis perisai dan bentuk badan solid seperti peluru torpedo, spesies ini sentiasa menggunakan kelebihannya dari segi berat dan saiz badan untuk melepaskan diri.

Perjalanan ke Hulu Langat Fishing Resort kali ini sertai steri, hanya kami berdua sahaja memandangkan sahabat penulis membatalkan rancangan pada saat-saat akhir atas urusan kerja.

Pemanduan kurang dari 40 minit dari pusat bandar disajikan dengan keindahan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur melalui Bukit Ampang terus ke pekan Hulu Langat.

Hulu Langat Fishing Resort mula beroperasi pada tahun 2014 dengan mengambil inspirasi daripada sebuah kolam ikan terkenal Bungsamran terletak di Bangkok, Thailand.

Antara spesies yang terdapat di kolam ini termasuk baung Ekor merah Amazon, patin Mekong, karak, peacock bass dan kap kepala besar (tongsan).

Bayaran masuk yang dikenakan kepada pengunjung adalah sebanyak RM80 selama empat jam berserta seorang guide yang disediakan pihak kolam.

Hanya umpan dedak dan mata kail khas yang dibeli di kaunter dibenar untuk digunakan di kolam ini.

Pemancing boleh memilih untuk menyewa chalet dengan bayaran tambahan RM100 untuk chalet biasa, manakala chalet VIP dikenakan caj RM180.

Sewaan untuk set pancing juga disediakan kepada sesiapa yang tidak mempunyai set peralatan yang bersesuaian.

Penulis mengekalkan penggunaan rod aksi berat 15-30lbs dengan kekuatan tali utama bebenang 40lb, disambung dengan tali leader 50lb memandangkan penghuni dasar Hulu Langat Fishing Resort dijamin bersaiz mega.

PEMANCING sabar menanti sentapan ikan di Hulu Langat Fishing Resort.

Kepada pemancing yang tidak biasa menggumpal umpan dedak, jangan risau kerana semuanya disediakan oleh guide pihak kolam, dari ikatan kekili, memasang mata bom sehinggalah kepada membaling umpan.

Penulis tidak menunggu lama, apabila balingan pertama disambar ikan dan bernasib baik kerana sempat memegang erat rod dari jatuh ke dalam kolam.

Larian yang keras dari ikan membuatkan penulis menggunakan segala kudrat yang ada bagi menahan asakan.

Terasa sedikit perit di bahagian belakang badan penulis kerana menahan ikan dari lari lebih jauh ke tengah kolam.

Hampir 30 minit pertarungan, ternyata patin Mekong bersaiz mega dengan berat 21 kilogram (kg) berjaya didaratkan.

Shahid, guide yang membantu mencadangkan supaya umpan ditukar kepada potongan ikan lampam yang boleh ditangkap di kolam tersebut jika ingin menangkap baung ekor merah.

Tanpa membuang masa, Shahid menyediakan tali pancingan tangan untuk menangkap lampam yang banyak kelihatan di bawah pelantar chalet.

Hasilnya, lampam sebesar dua tapak tangan dewasa dinaikkan, lalu dipotong kepada beberapa bahagian sebelum dicangkuk ke mata kail.

Mata kail berumpan potongan lampam dilabuhkan di tepi chalet, beberapa kali umpan itu dilarikan deras.

Sekitar pukul 6.45 petang, penulis terpaksa berhenti seketika dari meneruskan aktivi memancing dek kerana ribut petir.

Apabila ribut reda, aktiviti memburu spesies dihajati diteruskan.

TANGKAPAN pertama, ikan patin Mekong seberat 21kg berjaya dinaikkan.

Belum sempat penulis mengurangkan tegangan drag, umpan potongan lampam pantas dilarikan ke arah kipas air dan membiarkannya beberapa detik sebelum melakukan sentapan, kali ini solid hooked.

Akhirnya, spesies yang menjadi buruan, baung ekor merah Amazon seberat hampir 5kg berjaya dinaikkan.

Tidak sampai seminit selepas baung ekor merah pertama dinaikkan, terdengar bunyi nyaring drag reel kepunyaan isteri penulis, hampir sahaja pancing tersebut jatuh ke dalam kolam.

Untuk pertama kalinya, isteri penulis merasai sendiri nikmat menarik ikan yang menjadi ketagihan kaki pancing.

Agak menggelikan hati apabila melihat isteri bertungkus-lumus menahan asakan ikan di bawah air.

Jangkaan dari gaya larian ikan tersebut adalah dari spesies sama, baung ekor merah.

Setelah hampir 10 minit bertarung, akhirnya seekor baung ekor merah Amazon seberat 7kg berjaya didaratkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI