PETALING JAYA – FM Media Communications bersama Jakel, Koperasi Usahawan Maju Berhad (Koperasi Usahawan Maju), Kelab Kebajikan Ikhtiar Ampang (KKIA) dan Naan Corner Restaurant 1983 telah bekerjasama membantu mangsa banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat baru-baru ini.
Melalui Tabung Misi Bantuan Kecemasan Banjir yang dilancarkan baru-baru ini, sebanyak 50 buah rumah telah menerima sumbangan wang ringgit dan juga barangan keperluan lain seperti tikar, kain, tudung dan makanan.
Pengarah Eksekutif FM Media, Muhammad Fairos Ayub berkata, hasil kutipan untuk tabung berkenaan diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga mangsa banjir.
“Kami berharap bantuan ini tidak terhenti di sini, akan ada lagi bantuan berterusan yang akan dilaksanakan di bawah Tabung Misi Bantuan FM Media.
“Semoga misi akan datang dapat memberi peluang kepada kami menjalin kerjasama dengan lebih ramai lagi usahawan, selebriti dan NGO yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Sesi penyampaian bantuan tersebut telah disertai oleh Pengarah Urusan FM Media, Ema Malina Abu Bakar Tajudin, wakil daripada Jakel, Ruksana Mohamed Jakel, Presiden KKIA, Naz Azra Sabtu, wakil Koperasi Usahawan Maju, Datin Zalani @ Nornie Haji Hassan dan selebriti Amelina.