KUALA TERENGGANU – Pegawai Maritim Malaysia (APMM), Md. Firdaus Omar, 35, yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Gong Badak, Kuala Nerus kelmarin menunjukkan perubahan sikap daripada peramah kepada seorang pendiam.
Bapanya, Omar Endot, 71, berkata, perubahan itu dikesan ketika Md. Firdaus pulang ke rumah mentua di Kota Tinggi, Johor pada Aidiladha Julai lalu.
“Malah, Md. Firdaus turut teruja untuk pergi memancing sedangkan sebelum ini dia tidak gemar melakukan aktiviti itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7 malam itu, Md. Firdaus yang berpangkat Leftenan Maritim dan anak lelakinya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, meninggal dunia dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat Gong Badak berhampiran Taman Perumahan Mega di sini.
Kemalangan berlaku selepas motosikal Honda Vario dinaiki mereka dirempuh sebuah Proton Preve ketika Md. Firdaus dalam perjalanan menghantar Muhammad Lutfil ke kelas mengaji.
Bercerita lanjut, Omar berkata, dia masih terkenang lambaian sayu anak lelakinya itu dalam video yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp Isnin lalu.
Katanya, lambaian anak ketiga daripada empat beradik itu agak seolah-olah mahu memberitahu dia mahu pergi buat selamanya.
“Setiap kali pulang menjenguk saya, Md. Firdaus tidak pernah melepaskan peluang memeluk saya sambil menangis melepaskan rindu,”ujarnya.
Menurut Omar, isteri Md. Firdaus, Siti Hawa Mohd. Sebari, 30, yang sedang hamil dua minggu sangat trauma dan tidak berhenti menangis meratapi kehilangan suami dan anak sulungnya.
Jenazah Md. Firdaus dan anak sulungnya itu akan dikebumikan di kampung halaman Siti Hawa di Kota Tinggi.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd. Razak Hasan berkata, sewaktu kejadian, Md. Firdaus yang bertugas di pejabat Maritim Terengganu di sini dalam perjalanan menghantar anaknya ke kelas mengaji tidak jauh dari rumah mereka di Gong Badak di sini.
“Motosikal dinaiki dua beranak itu dirempuh Proton Preve sewaktu keluar dari persimpangan lampu isyarat menyebabkan kedua-duanya tercampak beberapa meter,” katanya.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
“Pemandu kereta yang cedera ringan juga dirawat di unit kecemasan hospital sama,” ujarnya.