BAGAN SERAI – Ujian datang bertimpa-timpa menguji keluarga Shahruddin Amin Abd. Rashid apabila kediamannya di Kampung Parit Jay di sini musnah dijilat api pada Ahad lalu.
Hanya sempat menyelamatkan diri menyebabkan keluarga itu tinggal sehelai sepinggang dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira -kira pukul 1 pagi itu.
Sebelum ini, Shahruddin Amin, 50, diuji apabila disahkan menghidap batuk kering pada Julai tahun lalu menyebabkan dia sering sakit-sakit dan tidak boleh bekerja sebagai buruh binaan.
Isterinya, Junaidah Hasani, 50, pula terlantar sakit akibat serangan angin ahmar tiga tahun lalu dan memerlukan penjagaan yang rapi.
Pasangan tersebut mempunyai lima anak dengan empat daripada mereka masih bersekolah, manakala seorang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Menurut Shahruddin Amin, selain rumah, kebakaran itu turut memusnahkan tiga buah motosikal dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM60,000.
Katanya, dia sekeluarga kini menumpang sementara di rumah ahli keluarga terdekat di kampung itu.
“Hendak membina rumah baharu mungkin mustahil kerana saya tidak mempunyai apa-apa simpanan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Shahruddin Amin berkata, sejak tidak boleh bekerja akibat penyakit batuk kering, mereka tujuh beranak dibantu oleh ahli keluarga terdekat sebanyak RM300 sebulan.
“Adik-beradik bantu menyumbang setiap bulan, manakala RM50 saya beri kepada ibu yang duduk berhampiran kerana hanya itu yang saya mampu hulurkan.
“Bagi barang makanan pula, ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang sebelum ini menghulurkan barangan asas termasuk Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai.
“Bantuan ini dapat meringankan keperluan kami sekeluarga kerana duit yang diberikan oleh adik-beradik pula, saya gunakan untuk perbelanjaan sekolah anak-anak,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Shahruddin Amin boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0800-4410-0006-5104 atas nama anaknya, Mohamad Syahrul Syazwan. -K! ONLINE